Sunday 4 October 2015

Polis Evo Bukan aksi 'SAmpah'



BUANG segala tanggapan tipikal mengenai filem aksi tempatan yang barangkali pernah mengundang rasa kecewa terhadap jangkaan tinggi anda untuk sesebuah filem yang diterbitkan.

Ini kerana ada sesuatu yang menarik disajikan menerusi buah tangan filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo yang tidak hanya beralaskan wajah filem aksi omongan kosong.

Wajar menerima pujian dan punya standard tersendiri, Polis Evo yang ditunjangi oleh Zizan Razak dan Shaheizy Sam ini nyata mempunyai nilai kesungguhan dan keikhlasan ketika dihasilkan biarpun tidak dinafikan, semua orang akan bercakap mengenai soal keuntungan.

Garapan baik oleh pengarah, Ghaz Abu Bakar, Polis Evo yang membawa wajah dan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke layar perak dengan hampir 80 peratus inti patinya menyajikan aksi barisan pelakon utama yang tidak menghampakan.

Ghaz ketika ditanya mengakui bahawa filem berdurasi 120 minit ini dihasilkan dengan amat berhati-hati menerusi garis panduan PDRM biarpun turut memaparkan elemen komedi, persahabatan dan kekeluargaan.

Menyifatkan antara filem aksi terbaik pernah dihasilkan selepas Tokan, kata Ghaz, dia bagaimanapun menolak andaian bahawa filem ini meniru filem Romeo Kota yang sebelum ini dilakonkan oleh Nabil Ahmad dan Aaron Aziz.

“Persamaan akan ada dalam cerita bercorak kepolisan tetapi bagaimana seseorang pengarah itu menggarap yang memberikan kelainan kepada filem tersebut selain jalan cerita.

“Tidak seperti Romeo Kota, Polis Evo tidak mengetengahkan terlalu banyak elemen komedi kerana fokus kita adalah terhadap aksi yang dipaparkan termasuk yang berbahaya.

“Bahkan filem ini juga menyaksikan sisi serius Zizan, berbanding filem-filem yang pernah dilakonkan olehnya sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ghaz meletakkan kepercayaan bahawa menerusi kehebatan filem ini dapat menarik kehadiran penonton untuk ke pawagam meski ada yang berpendapat industri perfileman sekarang turut terjejas dengan ketidakstabilan ekonomi negara.

“Yang diperlukan oleh penonton ialah kepercayaan bahawa filem ini sememangnya dihasilkan dengan kualiti terbaik. Itu yang kami berikan dan saya yakin walaupun keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, Polis Evo mampu meraih sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

“Kadangkala penonton sekarang dengan hanya menonton trailer di Internet, mereka sudah membuat andaian sedangkan bagi saya, tontonlah sepenuhnya di pawagam barulah hadir dengan penilaian.

“Kami sebagai satu pasukan telah berusaha memberikan yang terbaik untuk filem ini dan yang kami harap adalah sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Selain Zizan dan Sam, Polis Evo turut menampilkan antaranya Nora Danish, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Allahyarham Harun Salim Bachik.

Filem ini mengisahkan dua anggota polis, Inspektor Khai (Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi harus bekerjasama untuk membanteras operasi pengedaran dadah.

Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas manakala Sani seorang yang lebih mengikut prosedur dan mementingkan diplomasi.

Persamaan akan ada dalam cerita bercorak kepolisan tetapi bagaimana seseornag pengarah itu menggarap yang memberikan kelainan kepada filem tersebut selain jalan cerita.

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/polis-evo-1.132097#sthash.rHy0zxoU.dpuf

No comments:

Post a Comment